Friday, October 9, 2009

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH

KONSEP PBS

Guru memainkan peranan penting dalam mengesan perkembangan, kebolehan, kemajuan dan pencapaian murid. Guru menentukan hasil pembelajaran yang hendak dinilai, merancang dan membina instrumen penilaian, melaksanakan penilaian, merekod hasil penilaian, menganalisis maklumat penilaian, melapor dan membuat tindakan susulan. Penilaian yang dirancang oleh guru di peringkat sekolah ini dikenali sebagai PBS.

Melalui aktiviti penilaian guru dapat memastikan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

Untuk mencapai hasrat ini penilaian di sekolah haruslah memberi penekanan kepada konsep penilaian berterusan terhadap perkembangan bagi kesemua aspek tersebut. PBS lebih bersifat formatif iaitu mengutamakan kemajuan setiap murid dari satu peringkat ke satu peringkat. Guru dapat membuat diagnostik bagi mengesan perkembangan murid dari semasa ke semasa. Ini memberi peluang kepada guru untuk membetulkan kesilapan dan memperbaiki kelemahan murid serta-merta supaya kelemahan tersebut tidak terhimpun. Di samping itu guru dapat mengenal pasti kelemahan dan memperkembangkan lagi kekuatan serta potensi murid.

Terdapat dua jenis penilaian di sekolah iaitu penilaian formatif dan penilaian sumatif.

•Penilaian formatif
Penilaian dijalankan secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Maklumat yang diperoleh dapat memberi maklum balas tentang sejauh mana sesuatu hasil pembelajaran telah dikuasai. Oleh itu, guru dapat mengetahui tentang kelemahan dan kekuatan serta potensi seseorang murid dan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya.

•Penilaian sumatif
Penilaian sumatif dikaitkan dengan penilaian pada akhir semester atau tahun. Penilaian ini memberikan nilai yang membezakan pencapaian seorang murid
dengan murid lain dan seringkali digunakan untuk membuat pemilihan.

PERKAITAN ANTARA PBS DAN PENILAIAN BERPUSAT

PBS dirancang dan dilaksanakan oleh guru secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran harian. Maklumat tentang perkembangan murid yang diperoleh dari semasa ke semasa melalui penilaian berterusan dapat membantu guru mengambil tindakan susulan yang sewajarnya jika perlu. PBS boleh menilai kemajuan murid dalam pelbagai aspek termasuk aspek aspek yang tidak dapat dinilai secara berpusat.

Penilaian secara berpusat iaitu UPSR, PMR dan SPM dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Keputusan penilaian secara berpusat dapat memberi maklumat tentang pencapaian murid di seluruh negara. PBS dan penilaian berpusat saling melengkapi dalam sistem penilaian.

PBS dilaksanakan untuk mendapatkan gambaran tentang kemajuan pembelajaran murid di samping memberi maklum balas tentang keberkesanan pengajaran guru.

Melalui PBS, guru dapat :

• mengesan perkembangan murid secara menyeluruh;
• mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran lebih awal dari semasa kesemasa;
• mengetahui keberkesanan pengajarannya;
• merancang dan mengubahsuai pengajarannya; dan
• menjalankan tindakan susulan yang sesuai dengan serta-merta.

No comments: